Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Tiga orang perwakilan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA) Brunei Darussalam telah berlepas meninggalkan negara bagi menghadiri Mesyuarat Sekretariat dan Musyawarah MASTERA 2022 yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia bermula esok hingga 23 Jun.
Mengetuai perwakilan Negara Brunei Darussalam bagi menghadiri mesyuarat tersebut ialah Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin selaku setiausaha MASTERA merangkap ketua perwakilan MASTERA Brunei Darussalam.
Mesyuarat juga dihadiri bersama oleh dua orang pakar MASTERA Brunei Darussalam, iaitu Profesor Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah dan Dr Haji Ramlee bin Haji Tinkong dari Universiti Brunei Darussalam. Turut menghadiri mesyuarat secara fizikal di Kuala Lumpur itu nanti ialah ketua-ketua perwakilan negara anggota MASTERA dari Indonesia, Malaysia dan Singapura. Mesyuarat peringkat sekretariat diadakan bagi membincangkan tindakan susulan kerjasama kesusasteraan dalam menentukan tatakerja sesuatu projek selain merancang pelbagai kegiatan yang berkaitan dengan pembinaan dan pengembangan sastera.
Di samping itu, ia juga bagi membincangkan kertas kerja (projek) kerjasama yang dikemukakan oleh negara anggota MASTERA dan membincangkan pengurusan projek atau program MASTERA serta melaporkan kegiatan kesusasteraan dalam mesyuarat majlis sebagai persiapan bagi pelaksanaan Sidang MASTERA ke-26 2022 yang diadakan di Malaysia pada Oktober depan.