BANDA ACEH, INDONESIA, 25 APRIL – Tiga ekor harimau Sumatera yang hampir pupus ditemui mati di barat Indonesia hari ini selepas terperangkap dengan perangkap, kata polis.
Penebangan hutan berleluasa mengurangkan habitat semula jadi harimau di tambah konflik dengan manusia menyebabkan hanya beberapa ratus ekor spesies terancam itu yang masih tinggal di hutan.
“Dua daripada harimau mati itu pertama kali ditemui oleh pihak pemuliharaan haiwan tempatan di Aceh – yang terletak di hujung utara pulau Sumatera – sebelum polis dimaklumkan,” kata pegawai pemuliharaan.
“Pihak berkuasa menemui dua bangkai harimau sebelah menyebelah dengan kakinya diikat pada batang keluli di sebuah ladang kelapa sawit di daerah Aceh Timur,” kata satu kenyataan polis.
Beberapa jam kemudian, polis menemui seekor lagi harimau mati kira-kira 500 meter dari tempat dua harimau lain ditemui.
“Kami percaya harimau itu mati selepas terperangkap dalam perangkap babi, kerana apabila kami menemuinya, kaki mereka terperangkap dengan anduh keluli tebal,” kata ketua polis tempatan, Hendra Sukmana dalam satu kenyataan semalam.
Pegawai akan menjalankan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian harimau itu.
“Kami mengutuk sekeras-kerasnya insiden ini… jika bedah siasat mendedahkan ada tindakan sengaja yang menyebabkan kematian spesies dilindungi ini, kami akan mengambil tindakan tegas,” kata ketua agensi pemuliharaan Aceh, Agus Arianto kepada AFP. – AFP
