Tiga individu, 4 syarikat didenda

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 FEB – Tiga individu dan empat buah syarikat dikenakan kompaun sebanyak $100 hingga $500 setelah didapati melakukan kesalahan meletak atau melonggokkan serta meninggalkan pelbagai barang yang ditakrifkan sebagai sampah dan membuang puntung rokok di kawasan sekitar Kiulap, Gadong, Kompleks Batu Satu, Kiarong dan Kampung Subok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan (BSB), di sini, hari ini, kompaun berkenaan dikeluarkan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Bandaran BSB, semasa pemantauan kebersihan rutin harian dari 29 Januari hingga 4 Februari.

Kenyataan menyatakan bahawa seorang warga Filipina dan warga Indonesia dikenakan kompaun $100 manakala seorang warga Bangladesh dikenakan kompaun sebanyak $300, sementara itu, tiga buah syarikat dikenakan kompaun sebanyak $200 dan sebuah syarikat lagi dikenakan kompaun sebanyak $500.

Menurut kenyataan itu lagi, semasa Operasi Bersih Bersepadu bersama Jabatan Kesihatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi dan Jabatan Bomba dan Penyelamat, seorang warga Indonesia dikenakan kompaun sebanyak $100 dan sebuah syarikat dikenakan kompaun sebanyak $500 kerana didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil Penggal 30, Bab 12 (1) (a) dan 12 (1)(f)(ii) kerana membuang atau melonggok pelbagai barang yang ditakrifkan sebagai sampah dan membuang puntung rokok di kawasan sekitar Gadong. Kenyataan menyatakan bahawa dalam kes berkenaan, individu-individu dan syarikat-syarikat berkenaan dikehendaki membayar kompaun dalam masa tujuh hari.

Kegagalan dalam menjelaskan bayaran kompaun berkenaan akan mengakibatkan kes berkenaan dihadapkan ke Mahkamah, yang mana bagi kesalahan pertama boleh membawa hukuman denda $1000.

Manakala kesalahan kedua dan seterusnya boleh didenda $3000 dan penjara tidak melebihi tiga bulan.

Sampah berselerakan yang dibuang di kawasan awam. – Gambar serahan Jabatan Bandaran BSB.