Tiga individu ‘tidak senonoh’ kecundang

KUALA LUMPUR, 11 Jan – Polis menumpaskan kegiatan pecah rumah dengan meninggalkan najis apabila menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga Indonesia yang terlibat dengan beberapa kejadian jenayah itu di Bandar Tasik Puteri Kundang, Rawang.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Samsor Maarof berkata kesemua suspek berusia 34 hingga 37 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di Rawang dan Selayang dekat sini kira-kira 1 pagi tadi.

“Modus operandi kumpulan ini adalah menggunakan pemutar skru mengumpil tingkap rumah atau tingkap tandas sebelum masuk ke dalam rumah mangsa.

“Setelah mengambil barang-barang berharga, suspek akan membuang air besar di tempat kejadian bagi tujuan menakut-nakutkan mangsa seolah-olah disihir,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Kumpulan yang diketuai seorang lelaki dikenali sebagai ‘Cicak’ itu akan menjual barang-barang hasil pecah rumah kepada kenalan mereka dengan harga sekitar RM50 hingga RM100, katanya.

Samsor berkata suspek menyewa teksi untuk bergerak mencari sasaran rumah-rumah untuk melakukan jenayah tersebut dengan tujuan mengaburi polis daripada mengesan kegiatan mereka. – Bernama