SYDNEY, 23 Sept – Tiga jerung besar telah dibunuh di Australia selepas seorang wanita dan seorang kanak-kanak perempuan diserang di sebuah pusat pelancongan, Great Barrier Reef.
Kedua-dua mangsa, salah seorang daripada mereka berusia 12 tahun, masih berada di hospital hari ini selepas diserang dalam satu kejadian berasingan awal minggu ini di Whitsunday Islands.
Kaedah ‘Drum lines’, yang menggunakan umpan untuk menarik pemangsa itu, membunuh tiga ekor jerung harimau, salah seekor mempunyai ukuran 3.3 meter dan dua yang lain melebihi dua meter, menurut seorang jurucakap bagi Perikanan Queensland hari ini.
“Meskipun jerung yang mempunyai saiz sebesar ini sangat bahaya kepada manusia, ia masih belum jelas sama ada mereka bertanggungjawab atas kecederaan yang dialami oleh dua orang perenang minggu ini,” katanya.
“Bangkai jerung akan dibawa ke tengah laut untuk pelupusan.”
Jurucakap itu menambah bahawa perangkap drum line masih ditempatkan di kawasan tersebut dalam beberapa minggu akan datang bagi mengurangkan risiko kepada perenang.
Serangan jerung sangat jarang terjadi di Whitsundays, di mana kejadian kali terakhir dilaporkan adalah lapan tahun yang lalu, menurut penyiar kebangsaan, ABC.
Kejadian minggu ini telah menghidupkan semula perdebatan mengenai kaedah terbaik mengurangkan risiko antara jerung dan jumlah orang ramai yang menggunakan laut sebagai tempat bersantai. – AFP