Tiga kali tangguh, Mamat Sepah akhirnya berkahwin

Selepas tiga kali menangguhkan perkahwinan, pelawak Mamat Sepah akhirnya sah bergelar suami kepada anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang dikenali sebagai Diana Ibrahim dengan sekali lafaz pada Ahad.

Menerusi laporan media, Mamat atau nama sebenar Mohd Murad, 35, meluahkan rasa syukur kerana segala urusan majlis pernikahannya berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, majlis berjalan lancar dan berlangsung seperti yang dirancang. Akhirnya saya bergelar suami.

“Macam tak sangka, tetapi ya…Saya sudah melangkah kaki ke satu fasa baharu dalam hidup ini, syukur,” kata Mamat.

Majlis pernikahan Mamat dan Diana diadakan secara sederhana itu berlangsung di kediaman pengantin lelaki di Kulai, Johor.

Mamat Sepah akhirnya sah bergelar suami kepada anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam yang dikenali sebagai Diana Ibrahim dengan sekali lafaz pada Ahad. – Agensi

Pada majlis itu, pengantin perempuan menerima seutas gelang emas sebagai mas kahwin bersama lima berbalas lima dulang hantaran manakala wang hantaran dirahsiakan.

Mamat turut berkongsi video dan foto suasana sepanjang majlis pernikahannya di laman Instagram.

Dalam pada itu, Mamat memberitahu dia dan isteri tidak mempunyai perancangan mengenai lokasi berbulan madu disebabkan masing-masing sibuk kerja.

“Bulan madu tu kami tak fikir lagi. Tapi tengoklah dalam sehari dua ini macam mana sebab kami nak pergi rumah saudara mara dulu.

“Kalau ikut adat orang jawa ni, pengantin kena pergi rumah saudara mara dulu. Jadi, biar kami selesaikan tour ini dahulu,” ujarnya.

Mamat dan Diana yang berasal dari Sabah mengikat tali pertunangan pada tahun lalu sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga. – Agensi