Tiga kempen derma darah minggu ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 OGOS – Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa Pusat Pendermaan Darah, Jabatan Perkhidmatan Makmal, akan mengadakan beberapa kempen derma darah pada minggu keempat Ogos ini yang dibukakan kepada penyertaan orang ramai.

Kempen akan diadakan di Aman Optimum Fitness Centre, Aman Complex, Kampung Sungai Tilong, Jalan Muara di mana kempen anjuran pusat kecergasan berkenaan akan bermula dari pukul 10 pagi hingga 2 petang, esok. Pada 26 Ogos kempen akan dianjurkan oleh Bank Baiduri dan akan berlangsung di ibu pejabatnya di Jalan Gadong dari pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi.

Manakala itu, pada 27 Ogos, kempen akan diadakan di Bilik Pameran Volkswagen, Kampung Beribi dari pukul 9 pagi hingga 11:30 pagi, anjuran Maju Motors Sdn Bhd.

Orang ramai yang berhasrat untuk menderma darah diingatkan untuk mengimbas kod QR dan mengamalkan penjarakan sosial di tempat-tempat kempen diadakan.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya menekankan, pendermaan darah secara kerap dan sukarela adalah penting bagi memastikan stok bekalan darah sentiasa di tahap yang sihat dan mencukupi bagi menampung penggunaan di kesemua hospital di Negara Brunei Darussalam.

Oleh itu, Kementerian Kesihatan menggalakkan orang ramai untuk menderma darah semasa kempen-kempen derma darah atau datang ke Pusat Pendermaan Darah.

Kenyataan turut menyatakan bahawa Pusat Pendermaan Darah masih memerlukan semua jenis darah, terutama sekali jenis A, bagi kegunaan pemindahan darah pesakit-pesakit terutama sekali bagi pesakit Talasemia dan pesakit yang akan menjalani pembedahan.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pusat Pendermaan Darah di talian 2242424 sambungan 5745 atau 6001, e-mel kepada [email protected] dan ikuti Pusat Pendermaan Darah di Instagram dan Facebook (@bloodbank.ripas).