Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Tiga kes tempatan, satu kes import dikesan

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 DIS – Hanya empat kes baharu jangkitan COVID-19 telah dilaporkan di Negara Brunei Darussalam pada hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 15,465 orang.

    Tiga daripadanya adalah kes tempatan manakala satu adalah kes import, menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

    Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    “Jumlah kes baru ini adalah hasil daripada 2,675 jumlah ujian makmal yang dilakukan dalam tempoh 24 jam yang lalu. Oleh itu, kadar kes positif pada hari ini ialah sebanyak 0.1 peratus,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan lagi.

    Dalam kalangan kes-kes yang sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa tidak ada kes dalam kategori 4 dan satu kes masih dalam kategori 5 yang memerlukan bantuan mesin pernafasan dan bantuan mesin tambahan heart-lung machine (ECMO) di unit rawatan intensif.

    Manakala itu, hanya satu kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 15,265 kes dengan 100 kes aktif.

    Sementara itu, Yang Berhormat Dato lagi, kadar pengisian di pusat-pusat pengasingan di seluruh negara atau bed occupancy rate ialah sebanyak 2.7 peratus.

    Mengenai pencapaian Program Vaksinasi Kebangsaan setakat kelmarin (28 Disember), beliau menjelaskan bahawa kadar keseluruhan penduduk yang telah menerima sekurang-kurang satu dos vaksin ialah 94.5 peratus dan 93.2 peratus pula telah menerima dua dos vaksin manakala itu kadar bagi yang telah menerima tiga dos ialah 17.9 peratus.

    “Marilah kita berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT mudah-mudahan Negara Brunei Darussalam sentiasa dalam perlindungan Allah SWT dan kitani semua terselamat daripada segala musibah dan mara bahaya khususnya wabak COVID-19,” seru Yang Berhormat Menteri Kesihatan kepada orang ramai di hujung kenyataannya.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua semasa sidang media di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan. – Gambar oleh Muiz Matdani
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...