Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Sebanyak tiga kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh majikan telah didapati semasa Operasi Kelinga 241/2023 yang dikendalikan oleh Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang, Jabatan Buruh Cawangan Daerah Belait di kawasan Jalan Pandan 1 Kuala Belait dan Jalan Jaya Negara Kuala Belait, baru-baru ini.
Operasi tersebut bertujuan untuk menguatkuasakan dan memastikan Perintah Pekerjaan 2009 dipatuhi oleh para majikan.
Pemeriksaan pertama yang telah dijalankan di kawasan Jalan Pandan 1 Kuala Belait telah mendapati sebanyak satu kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh majikan, iaitu Bab 112 (2) Kesalahan melanggar syarat-syarat lesen pengambilan pekerja asing di mana seorang pekerja berjawatan Buruh Kedai didapati membuat pekerjaan sebagai Juruwang.
Pemeriksaan kedua yang telah dijalankan di kawasan Jalan Jaya Negara Kuala Belait telah mendapati sebanyak dua kesalahan di bawah Perintah Pekerjaan 2009 yang dilakukan oleh majikan, iaitu Bab 70 Gagal memberikan cuti pada hari kelepasan awam yang diwartakan dan Bab 82 Majikan gagal menyediakan kelengkapan pertolongan cemas.
Bagi kesalahan tersebut, jika didapati, majikan boleh dikenakan denda kompaun tidak lebih daripada $1,000 bagi tiap-tiap kesalahan.
Jika gagal membayar denda kompaun tersebut, majikan akan dihadapkan ke mahkamah.
Sehubungan dengan itu, Jabatan Buruh dalam kenyataan akhbarnya mengingatkan kepada majikan supaya sentiasa memantau hal ehwal kebajikan pekerja selaras dengan kehendak Perintah Pekerjaan, 2009 seperti penyediaan kontrak pekerjaan dan pembayaran gaji tepat pada waktunya.
Para majikan adalah dinasihatkan untuk tidak menyalahgunakan Lesen Pekerja Asing dan melanggar akta di bawah Perintah Pekerjaan 2009.
Untuk maklumat lebih lanjut bolehlah berhubung dengan Jabatan Buruh di talian 2381848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja).
Ikuti berita lanjut di Media Permata keluaran Selasa.