Tiga kru maut, pesawat pengebom air terhempas

SYDNEY, 23 JAN – Tiga anak kapal Amerika Syarikat yang membantu memadamkan kebakaran hutan yang besar di Australia terbunuh hari ini apabila pesawat pengeboman air yang mereka naiki terhempas di kawasan pergunungan semasa bergelut memadamkan kebakaran di kawasan itu.

Sebuah pesawat digunakan untuk pengeboman air bagi memadamkan kebakaran terhempas dan mengorbankan tiga kru di barat daya Sydney hari ini, kata jurucakap rasmi Australia.

Pesuruhjaya Perkhidmatan Bomba Luar Bandar New South Wales, Shane Fitzsimmons berkata, pesawat Hercules C-130 milik Kanada itu terputus hubungan ketika menjalankan operasi di kawasan Snowy Monaro pada 1:30 petang.

Fitzsimmons berkata, semua yang terkorban adalah anggota bomba warga Amerika Syarikat yang dihantar untuk membantu memadamkan kebakaran hutan di negara berkenaan.

“Kami berdukacita dengan kejadian yang berlaku kerana kehilangan tiga individu yang berjasa dan mengorbankan hidup mereka untuk membantu memadamkan kebakaran,” katanya.

Sehingga kini, 32 dilaporkan terkorban dalam krisis kebakaran di negara berkenaan yang bermula sejak September tahun lalu.

Sementara itu, Lapangan terbang di Canberra juga terpaksa ditutup dan menjejaskan perjalanan penumpang ekoran kebakaran hutan di Canberra, pada Selasa.

Pihak berkuasa berkata, pasukan pemadam kebakaran kini sedang giat menjalankan operasi pemadaman bagi mengelak kebakaran merebak ke kawasan lain. Agensi Perkhidmatan Kecemasan Wilayah Australia berkata, lapangan terbang itu terpaksa ditutup ekoran keadaan terkini yang berlaku di selatan kawasan berkenaan.- AFP

Gambar fail yang tidak bertarikh menunjukkan pesawat Hercules C-130 ketika menjatuhkan bom air di kawasan kebakaran di Australia. Tiga kru Amerika yang membantu menangani memadamkan kebakaran hutan yang besar di Australia terbunuh kelmarin apabila pesawat pengeboman air yang mereka naiki terhempas. – AP