Tiga lagi entiti dimasukkan ke dalam Alert List

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Senarai Alert List dikeluarkan Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah dikemaskinikan dengan tiga lagi individu, syarikat atau entiti disenaraikan dalam bulan Ogos ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan AMBD di sini hari ini, tiga individu, syarikat atau entiti itu ialah JAA Lifestyle, Khalifa BHH (Profil FB) (7312759) dan Siti Hardiana (8879442)/Tarik Gaji (Invest 2020)/Invest Pusing Lagi/Company Eljojo/Invest Syarikat Fazfar Enterprise.

Entiti-entiti ini tidak diberi kebenaran atau kelulusan di bawah undang-undang dan peraturan-peraturan di bawah kawalan AMBD, atau mana-mana aktiviti yang menimbulkan kecurigaan yang menyalahi undang-undang. Menurut AMBD, senarai itu adalah tanpa prejudis kepada sebarang penilaian lanjut oleh AMBD mengenai aktiviti-aktiviti syarikat berkenaan.

Sehubungan itu AMBD menasihatkan orang ramai supaya tidak berurusan dengan mana-mana entiti atau individu yang menjalankan aktiviti kewangan yang tidak berlesen atau disyaki mengandungi unsur-unsur skim cepat kaya dan skim piramid.

Antara perkhidmatan-perkhidmatan di bawah bidang kuasa AMBD termasuk penukaran wang, pengiriman dan pinjaman wang. Jika berurusan dengan entiti, syarikat atau individu yang tidak dikawal selia oleh AMBD, orang ramai tidak akan dilindungi di bawah rangka kerja penyeliaan yang ditadbir oleh AMBD.

Alert List AMBD yang telah dikemaskinikan boleh didapati melalui laman web AMBD di www.ambd.gov.bn. Senarai syarikat-syarikat dan individu-individu yang dilesenkan oleh AMBD juga boleh didapati di laman web yang sama.