KUALA TERENGGANU, 31 JAN – Tiga lagi bangkai penyu Agar ditemukan di tiga lokasi berasingan iaitu dua di Pantai Kijal, Kemaman dan satu di Pantai Kelulut, Marang dalam tempoh tidak sampai 25 jam.
Pemajak telur penyu Roslan Muhammad, 54, berkata bangkai pertama ditemukan anaknya Muhammad Aqil, 21 pada 7:30 pagi semalam di Pantai Kijal dengan kesan luka di bahagian leher.
“Hari ini, saya pula terjumpa bangkai penyu pada pukul 8:15 pagi tadi ketika sedang berada di pantai Kijal untuk melakukan kerja-kerja mengutip telur penyu.
“Ia ditemui pada jarak lima kilometer dari lokasi semalam. Saya anggarkan usia penyu ini antara 25 hingga 32 tahun dan ada kesan jerutan di bahagian tengkuknya dipercayai akibat terperangkap dalam pukat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.- Bernama