Tiga lagi produk kesihatan tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mei – Kementerian Kesihatan ingin memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan tiga produk kesihatan yang didapati dicemari ubat-ubatan barat yang tidak diisytiharkan.

Produk berkenaan adalah Madam Kate Detox Capsule yang dicemari Sibutramine, Lorenxo Delicious Pure Chocolate Tablet 1000mg (dikilangkan Lorenzo Health Nz, New Zealand) dicemari Tadalafil dan Vigra Pills 6800mg (American Couple Biotechnology Co Ltd, USA) dicemari Sildenafil.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Kenyataan menjelaskan, Sibutramine adalah agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati.

Pengambilan sibutramine juga boleh menyebabkan kesan buruk yang serius seperti tekanan darah tinggi, kadar degupan jantung meningkat dan dalam kes-kes yang paling teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.

Madam Kate Detox Capsule.
Vigra Pills 6800mg.
Lorenxo Delicious Pure Chocolate.

Manakala itu, Tadalafil dan Sildenafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila mengambil ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening.

Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.

Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas mengambil produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Kenyataan turut mengingatkan orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.

Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda sebanyak $16,000 dan 12 bulan penjara.

Kementerian Kesihatan juga ingin memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di Negara Brunei Darussalam.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393298 sambungan 208; menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus pegawai komplians dan perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A; atau hubungi Talian Darussalam 123.