Tiga lagi produk kesihatan tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKT – Kementerian Kesihatan memaklumkan orang ramai supaya tidak menggunakan tiga produk kesihatan yang telah didapati dicemari dengan ubat-ubatan barat yang tidak diisytiharkan.

Hasil daripada ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kemen-terian Kesihatan, Skinny Lolita Vegetable Tablets dicemari dengan Sibutramine, phenolphthalein dan sildenafil; Blackcurrant TW Booster Tablet dikilangkan oleh Pharma Herb, New Zealand dicemari dengan tadalafil dan King Man Vigour Man dicemari sildenafil.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, bahan-bahan pencemar dalam produk-produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Kenyataan menjelaskan, sibutramine adalah agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati.

Pengambilan sibutramine juga boleh menyebabkan kesan buruk yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur dan dalam kes-kes yang paling teruk, ia boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.

Skinny Lolita Vegetable Tablets.
Blackcurrant TW Booster Tablet.
King Man Vigour Man.

Manakala itu, penggunaan berpanjangan dan berlebihan bahan penolphthalein boleh menyebabkan cirit-birit dengan kehilangan air dan elektrolit yang berlebihan serta juga kemungkinan berlaku masalah usus besar, masalah pernafasan dan jantung, kerosakan organ buah pinggang serta kesan-kesan hipersensitiviti yang dilaporkan dengan penggunaan bahan berkenaan. Tadalafil dan sildenafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor. Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening.

Dalam kes-kes yang teruk, ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa dalam degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.

Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.