Tiga lagi produk tercemar

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Kementerian Kesihatan memaklumkan kepada orang ramai supaya tidak menggunakan produk kosmetik yang mana hasil daripada ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan telah mendapati bahawa produk-produk tersebut dicemari dengan bahan terlarang yang tidak diisytiharkan.

Produk Kosmetik tercemar yang berkenaan adalah Special UV Whitening AAA Asli (SP), SEERI Cosmetic Day Cream dan SEERI Cosmetic Herbal Cream yang dicemari dengan merkuri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan, bahan pencemar dalam produk berkenaan boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Kenyataan menjelaskan, merkuri adalah bahan yang dilarang dalam produk kosmetik seperti yang ditetapkan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik) 2007.

Penggunaan merkuri di dalam produk kosmetik adalah dilarang kerana ia boleh memudaratkan kesihatan. Tahap merkuri yang tinggi atau pendedahan yang kerap boleh menyebabkan kulit kebas, sakit kepala, ruam, perubahan warna kulit serta kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Seeri Cosmetic Day Cream.
Seeri Cosmetic Herbal Cream.
Special UV Whitening AAA Asli (SP).

Anak damit dan kanak-kanak kecil boleh terdedah dengan kesan sampingan daripada pengguna yang boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau anak damit yang belum dilahirkan.

Kementerian Kesihatan tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan untuk penjualan produk tersebut dan/atau mengeluarkan Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik bagi penjualan produk-produk tersebut. Berikutan dapatan ini, produk-produk berkenaan adalah dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan pengambilannya dengan serta merta. Jika mereka mengalami kesan buruk dan merasa tidak sihat selepas mengambil produk-produk berkenaan, hendaklah berjumpa doktor dengan segera.

Orang ramai yang terlibat dalam penjualan produk-produk tersebut (termasuk penjualan secara online seperti melalui Facebook dan sebagainya) adalah diingatkan bahawa ianya adalah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Racun 1956 untuk menjual mana-mana produk yang mengandungi bahan yang dikawal di bawah akta berkenaan dan boleh dikenakan denda sebanyak $8,000 atau penjara enam bulan, jika didapati bersalah.

Tambahan pula, jika seseorang melakukan sesuatu di atas kecuaiannya sendiri yang membahayakan atau mungkin membahayakan nyawa manusia, jika didapati bersalah, akan didenda $16,000 dan 12 bulan penjara dan juga diingatkan bahawa menjadi satu kesalahan di bawah Peraturan Ubat (Produk Kosmetik), 2007 untuk mengimport dan memasarkan produk kosmetik di pasaran tempatan tanpa Surat Pengakuan Notifikasi Produk Kosmetik yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di Kementerian Kesihatan, dan jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi $5,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Kementerian Kesihatan juga memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada Bahagian Komplians dan Perlesenan jika mendapati produk-produk berkenaan masih dipasarkan di negara ini.

Untuk maklumat lanjut dan perhubungan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komplians dan Perlesenan melalui talian telefon 2393298 sambungan 208; menghantar e-mel kepada pharmacy.enforcement@moh.gov.bn; berjumpa terus pegawai Komplians dan Perlesenan di Tingkat 1, Bangunan Jabatan Perkhidmatan Farmasi, Kampung Madaras, Mukim Gadong A; atau hubungi Talian Darussalam 123.