Thursday, February 20, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga lagu baru dipersembahkan

    Oleh Normazlina M.D

     

    TUTONG, 18 Julai – Bersempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Tutong, tiga buah lagu baru telah pun dipersembahkan menerusi persembahan warna-warni yang diadakan di kawasan Padang Kompleks Dewan Kemasyarakatan Daerah Tutong, pagi tadi.

    Tiga buah lagu yang dibawa khas itu ialah ‘Gerak Belia Perkasa’, ‘Gema Perpaduan Rakyat’ dan ‘Raja Terunggul Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’.

    Ketiga-tiga lagu tersebut dicipta oleh Pengerusi Bersama Persembahan Khas iaitu Awang Abdul Ajees bin Haji Hamdan dan Awang Muhammad Amir bin Haji Umarali.

    Menurut Awang Abdul Ajees, ketiga-tiga lagu baru tersebut telah pun dicipta khas bagi persembahan khas bersempena keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke Daerah Tutong pada tahun ini.

    Awang Abdul Ajees juga menjelaskan lagu ‘Raja Terunggul Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ pada asalnya hanyalah satu persembahan puisi namun ia tidak diterima untuk dijadikan persembahan dan seterusnya puisi berkenaan digubah menjadi sebuah lagu.

    Awang Abdul Ajees ketika ditemu bual mengenai lagu ciptaannya bersama Awang Muhammad Amir yang dipersembahkan kehadapan majlis KDYMM bersempena keberangkatan Baginda ke Daerah Tutong.
    Awang Abdul Ajees ketika ditemu bual mengenai lagu ciptaannya bersama Awang Muhammad Amir yang dipersembahkan kehadapan majlis KDYMM bersempena keberangkatan Baginda ke Daerah Tutong.

    Berkenaan sambutan lagu baru terutama pada ahli-ahli jawatankuasa tertinggi dan peserta yang menjayakan mempersembahkan lagu ini dengan baik, mereka sangat berpuas hati dan ianya merupakan sesuatu yang baru serta lagu tersebut dijadikan sebagai satu platform bagi masyarakat Daerah Tutong tersendiri.

    Menerusi lagu ‘Gerak Belia Perkasa’, ia mempamerkan mesej kepimpinan dan ketokohan belia-belia, manakala lagu ‘Gema Perpaduan Rakyat’ memperlihatkan perpaduan rakyat dan masyarakat Daerah Tutong dalam sama-sama merealisasikan Wawasan Brunei 2035 dan lagu ‘Raja Terunggul Daulat Kebawah Duli Tuan Patik’ pula berkaitan dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Beliau berharap lagu-lagu tersebut akan mendapat sambutan dan diminati oleh masyarakat dan penduduk Daerah Tutong sendiri dan ‘Gema Perpaduan Rakyat’ akan sering dimainkan atau dipersembahkan oleh rakyat dan penduduk di Daerah Tutong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda