Sunday, March 23, 2025
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga lelaki dihukum mati cetus bantahan ganas

    DUBAI, 15 Jan – Bahrain hari ini melaksanakan hukuman mati ke atas tiga lelaki yang didapati bersalah membunuh tiga anggota polis, mencetuskan bantahan dan ketegangan antara majoriti penganut Syiah dan pemerintahan Ahli Sunah di negara itu.

    Ketiga-tiganya lelaki Syiah itu berdepan skuad penembak, enam hari selepas sebuah mahkamah menyokong hukuman mati mereka berhubung serangan bom pada Mac 2014, kata pendakwaan dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita BNA.

    Bahrain yang telah diperintah oleh dinasti Al-Khalifa selama lebih dua abad, mempunyai penduduk yang majoritinya Syiah yang mengadu tentang penindasan.

    Pengumuman mengenai hukuman mati itu telah mencetuskan bantahan di kampung Syiah, di mana para pembantah menyekat jalan dengan membakar tayar dan polis membalas balik dengan menembakkan gas pemedih mata, menurut apa yang disiarkan dalam media sosial.

    Gambar-gambar yang dikongsi dalam laman sosial oleh aktivis juga menunjukkan ahli saudara mereka yang dihukum mati menangis berhubung kematian mereka.

    Pembantah antikerajaan telah menyekat jalan di daerah Jidhafs, Bahrain pada 15 Januari selepas pihak berkuasa menghukum mati tiga lelaki pagi kelmarin. – AP
    Pembantah antikerajaan telah menyekat jalan di daerah Jidhafs, Bahrain pada 15 Januari selepas pihak berkuasa menghukum mati tiga lelaki pagi kelmarin. – AP

    Pihak berkuasa di Bahrain tidak membenarkan agensi-agensi berita antarabangsa untuk meliputi berita itu secara bebas.

    Pelaksanaan hukuman mati diadakan sehari selepas tunjuk perasaan meletus di seluruh kampung Syiah ekoran desas-desus mengatakan pihak berkuasa akan melaksana hukuman mati ke atas ketiga-tiga lelaki berkenaan.

    Mereka adalah orang pertama dalam enam tahun di negara Teluk, menurut kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di London, Reprieve, yang telah mengingatkan semalam terhadap tindakan tersebut. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda