Tiga lelaki dijatuhkan hukuman penjara

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Mahkamah Perantaraan baru-baru ini, telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas tiga orang lelaki atas kesalahan menceroboh bagi tujuan mencuri.

Muhammad Sophian bin Haji Adanan, 45, telah dijatuhkan hukuman penjara enam bulan setelah mengaku bersalah pada 27 April lalu atas pertuduhan menceroboh sebuah bengkel di Kampung Mentiri antara 8 dan 9 November 2019.

Sementara itu, Sharifulrizal bin Haji Sahari, 39 dan Mohd Shahrulddin bin Mohd Sophian, 18, pula telah disabitkan kesalahan pada 15 Jun 2020 dan masing-masing dijatuhi hukuman 18 bulan penjara.

Hakim Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendengarkan pendakwaan kes yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Firdaus bin Mohammad dan Sabrina binti Haji Mahmud.

Sementara itu, seorang lagi dibebaskan daripada tuduhan yang sama kerana mahkamah mendapati bahawa dia tidak terlibat secara langsung dalam kesalahan berkenaan dan hanya menunggu dalam kereta yang mereka masuki.