Tiga lelaki sesat ditemui selamat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OKT – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) menyarankan orang ramai supaya sentiasa membawa jurupandu yang berpengalaman untuk masuk ke kawasan hutan serta memastikan bahawa mereka tahu akan keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan tidak meneruskan aktiviti jika keadaan sudah mulai gelap.

Saranan itu dibuat dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), di sini, selepas anggota JBP berjaya membawa keluar tiga orang mangsa sesat di Taman Rekreasi Bukit Shahbandar, Jerudong pada 3 Oktober lalu.

Kenyataan menyatakan bahawa pada pukul 8:13 malam, tiga orang anggota dari Balai
Bomba Jerudong yang diketuai oleh ASO Metusin bin Menudin dan empat orang anggota dari Skuad Khas Balai Bomba Rimba yang diketuai oleh ABK 670 Amir Hassan bin Haji Bidin telah dikejarkan ke taman rekreasi berkenaan bagi operasi mencari dan menyelamat orang yang sesat di hutan.

Menurut kenyataan itu lagi, sebaik tiba di lokasi penyiasatan dijalankan di sekitar kawasan hutan berkenaan dan anggota bomba dan penyelamat segera membuat pencarian.

Pada pukul 9:34 malam, anggota bomba dan Skuad Khas berjaya menjumpai mangsa yang kesemuanya lelaki, iaitu dua warga tempatan dan seorang warga asing yang sesat di jarak 200 meter dari staging area.

JBP menyatakan bahawa semua mangsa dalam keadaan selamat dan tidak mendapat sebarang kecederaan serta mereka hanya mengalami keletihan.

Tiga orang lelaki yang sesat di Taman Rekreasi Bukit Shahbandar, Jerudong dan berjaya dijumpai dan dibawa keluar dengan selamat oleh anggota bomba dan penyelamat pada 3 Oktober lalu. – Gambar serahan JBP