Tiga masih jalani rawatan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JAN – Setakat jam 12 tengah hari, tidak ada kes jangkitan baharu COVID-19 dicacatkan di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal seramai 174 orang dengan tiga kes aktif dan 168 kes sembuh.

Kes terakhir jangkitan tempatan dilaporkan pada 6 Mei 2020 iaitu 254 hari yang lalu di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan tempatan terakhir dilaporkan ialah sebanyak 33 kes.

Pengemaskinian tersebut telah dikongsikan Kementerian Kesihatan melalui Siaran Akbar Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam yang dikeluarkan, hari ini.

Selain itu, kenyataan tersebut turut mengongsikan bahawa seramai 547 sedang menjalani pengasingan diri mandatori dan jumlah yang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020 adalah 11,271 orang.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 143 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 86,510 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.