YANGON, 16 NOV – Tentera Myanmar dilaporkan telah membedil sebuah bandar di negeri barat Rakhine dan menggunakan helikopter untuk menyerang pejuang daripada etnik minoriti di sana hari ini, kata penduduk dan media tempatan.
Pejuang Tentera Arakan (AA) telah melancarkan serangan ke atas pasukan keselamatan di seluruh Rakhine minggu ini, membuka satu lagi barisan serangan ketika tentera bertempur dengan pihak lawan di utara dan timur negara itu.
Pejuang AA telah mengambil ‘kawalan sepenuhnya’ bandar Pauktaw, 25 kilometer timur ibu negeri Sittwe, seorang penduduk memberitahu AFP selepas meminta namanya dirahsiakan atas sebab keselamatan.
Tentera membedil bandar itu dan helikopter menyerang balai polis yang kini dikuasai oleh pejuang AA, kata penduduk tersebut.
Penduduk itu melaporkan mendengar bunyi tembakan dan tembakan meriam yang hampir berterusan dan berkata ramai penduduk di bandar itu telah melarikan diri.

Seorang lagi penduduk berkata, turut meminta namanya dirahsiakan kerana bimbang keselamatan mereka, kira-kira 30 anggota polis di Pauktaw telah menyerah diri kepada AA kelmarin,
Sebuah kapal tentera laut Myanmar turut menghampiri bandar itu dari sungai Kywegu, lapor media tempatan.
Tiga orang Rohingya terbunuh akibat serangan tembakan meriam semasa pertempuran antara AA dan tentera pada malam Selasa di perbandaran Minbya di utara Rakhine, seorang pemimpin Rohingya tempatan memberitahu AFP hari ini.
“Pertempuran telah berterusan sejak itu,” kata pemimpin Rohingya itu. “Ramai orang Rohingya memerlukan bantuan untuk makanan dan tempat bersembunyi,” tambahnya.
Pejuang AA juga sedang memerangi junta di seluruh negeri Shan utara sebagai sebahagian daripada pakatan kumpulan etnik minoriti yang telah merampas bandar dan menyekat laluan perdagangan penting ke China. – AFP