MAIDUGURI, Nigeria, 16 Jan – Tiga orang terbunuh dan 15 lagi cedera dalam serangan bom nekad yang berlaku di sebuah kampus universiti di barat laut Nigeria, kata polis hari ini.
Letupan itu berlaku di sebuah masjid di kawasan kuarters kakitangan Universiti Maiduguri dan dikatakan telah dilakukan oleh seorang remaja perempuan, kata seorang penduduk tempatan dan seorang pensyarah kepada AFP.
Belum ada yang mendakwa bertanggungjawab namun serangan itu disyaki dilakukan oleh kumpulan Boko Haram, yang berulang kali menggunakan wanita muda dan perempuan sebagai bom manusia.
Jurucakap polis Borno, Victor Isuku berkata sebelum berlaku letupan di masjid itu, polis yang sedang meronda telah menembak seorang remaja berusia 12 tahun ketika dia cuba masuk ke dalam universiti kira-kira 5:15 pagi (0415 GMT).
“Alat letupan improvisasi (IED) yang dipasang pada badannya meletup, membunuh dirinya serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan.
“Sejurus selepas itu, letupan kedua berlaku di dalam masjid di universiti itu.
“Empat orang, termasuk seorang profesor dan dua pengebom nekad, maut, sementara 15 yang lain mengalami pelbagai tahap kecederaan dan dikejarkan ke UMTH (University of Maiduguri Teaching Hospital).
Seorang penduduk tempatan, yang meminta tidak dinamakan, berkata dia terdengar dua letupan pada jam 5:25 pagi ketika dia meninggalkan masjid di kawasan berdekatan.
“Saya berkejar ke universiti, yang tidak jauh dari rumah saya. Ketika memasukinya, saya lihat masjid dalam keadaan kucar-kacir. Tiga orang terdampar di lantai, termasuk seorang budak perempuan, yang badannya hancur teruk.
“Manakala 13 jemaah yang lain cedera.”
Seorang pensyarah universiti yang tinggal di kawasan tersebut mengesahkan keterangan penduduk di sana. Akses ke kampus universiti telah dikawal ketat, dengan pemeriksaan diadakan di pagar masuk. – AFP
































