Tiga maut diserang tentera Haftar

TRIPOLI, 5 FEB – Tentera yang setia kepada komander Khalifa Haftar membunuh sekurang-kurangnya tiga orang awam termasuk dua kanak-kanak, lapor agensi berita Anadolu.

Militia Haftar menyasarkan kawasan kediaman di selatan Tripoli, menurut pasukan yang setia kepada Kerajaan Perpaduan Negara (GNA) yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada hari ini. Empat lagi cedera dalam serangan itu.

Walaupun Persidangan Berlin di Libya pada 19 Januari menggesa gencatan senjata yang berkekalan di negara dilanda peperangan, pasukan Haftar masih terus melancarkan serangan.  Sejak kematian pemimpin Muammar Gaddafi pada 2011, Libya berpecah dua: pentadbiran di Libya timur disokong Mesir dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), satu lagi di Tripoli ditadbir kerajaan yang diiktiraf antarabangsa dan PBB.

Sejak April lalu, kerajaan yang sah di Libya telah diserang pasukan tentera Haftar, mengorbankan lebih 1,000 orang. – Bernama