Tiga maut insiden penyokong ganas

TEGUCIGALPA, 18 OGOS – Sekurang-kurangnya tiga orang terkorban dan tujuh yang lain cedera dalam satu rusuhan semalam antara penyokong bola sepak menjelang perlawanan kejohanan kebangsaan di Honduras, menurut sebuah hospital yang merawat para mangsa.

Para penyokong pasukan Olympia dan Motagua, seteru kuat, melakukan kacau-bilau di luar Stadium Kebangsaan di ibu negara Tegucigalpa.

Seorang jurucakap bagi Hospital Escuela, Julieth Chavarría, memberitahu AFP bahawa ‘tujuh orang dimasukkan ke hospital, tiga terkorban dan empat masih menerima rawatan dalam bilik kecemasan’.

Rusuhan itu dipercayai bermula apabila sebuah bas yang membawa para pemain Motagua diserang, menyebabkan tiga pemain cedera, menurut presiden kelab Pedro Atala dalam media sosial.

Emilio Izaguirre, Jonathan Rougier, and Roberto Moreira segera dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

“Botol, batu telah dibaling ke arah kami dan para pemain bertiarap di atas lantai sambil berteriak,” kata jurulatih Motagua, Diego Vásquez.

Presiden Olympia, Rafael Villeda berkata keganasan itu adalah ‘malang’.

Disebabkan kejadian itu, perlawanan tersebut dibatalkan oleh Liga Bolasepak Kebangsaan.

Kira-kira 10,000 orang berada di dalam stadium mengalami kecederaan selepas insiden rempuhan ketika hendak keluar, dan kemudian terjejas terkena gas pemedih mata polis di luar stadium. – AFP