Tiga maut lebuh raya runtuh

NANJING, 11 OKT – Tiga orang disahkan maut manakala dua lagi cedera selepas laluan atas sebatang lebuh raya di Wilayah Jiangsu yang terletak di timur China runtuh semalam dan menghempap tiga buah kereta, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan hari ini.

Insiden itu berlaku pada kira-kira pukul 6:10 petang di seksyen 312 Lebuhraya Kebangsaan di bandar Wuxi.

Siasatan awal menunjukkan sebuah daripada kereta yang dihempap sebelum itu diparkir di bawah laluan atas lebuh raya tersebut dan tiada orang di dalamnya.

Tiga orang yang berada dalam dua lagi kereta yang dihempap terbunuh dalam insiden itu.

Terdapat lima kenderaan lain yang dipandu di laluan atas lebuh raya itu ketika insiden berlaku.

Kenderaan terbabit, yang terdiri daripada tiga kereta jenis sedan dan dua buah trak, telah tersekat di penyangga jalan menyebabkan dua orang cedera.

Menurut para penyelamat dan pakar dari Kementerian Pengangkutan di lokasi kejadian, insiden itu berlaku disebabkan kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan. – Bernama