Tiga maut lombong emas runtuh di Indonesia

JAKARTA, 25 FEB – Pekerja penyelamat menggiatkan usaha mencari ramai lagi pelombong yang masih terperangkap dalam runtuhan lombong emas haram di Pulau Sulawesi yang mengorbankan sekurang-kurangnya tiga orang, kelmarin.

Pegawai penyelamat memberitahu, usaha mencari dan menyelamat semalam menemukan tiga mayat dan berjaya menyelamatkan 15 mangsa yang masih hidup dari sisa runtuhan lombong itu.

Runtuhan berlaku sejurus kejadian tanah runtuh di kampung Buranga selepas hujan lebat selama beberapa hari.

Pegawai menyatakan, struktur kayu tidak kuat mengakibatkan insiden selepas kedudukan tanah tidak stabil, menimbus pekerja dalam lombong.

Pasukan penyelamat terdiri daripada polis, tentera dan agensi bencana tempatan mengerahkan jentera berat untuk membantu pencarian.

Bagaimanapun, laporan media tempatan menyatakan, mangsa yang terperangkap mungkin lebih daripada lima orang seperti dilaporkan.

Anggota penyelamat menggunakan dua jentera pengorek dan peralatan pertanian untuk mencari mangsa.

Operasi lombong haram lazim berlaku di Indonesia, menjadi sumber mata pencarian ribuan orang miskin di negara itu, mendedahkan mereka kepada risiko kecederaan serius atau kematian. – AFP

Pekerja penyelamat mengepam air keluar dari lombong emas yang runtuh ketika mencari mangsa di Sulawesi Tengah, Indonesia, 25 Februari. Tiga maut manakala ramai lagi dikatakan terperangkap dalam lombong itu. – AP