Tiga maut ribut badai Australia

MELBOURNE, 28 OGOS – Ribut melanda tenggara Australia telah mengorbankan tiga nyawa, termasuk seorang kanak-kanak berusia empat tahun dan kru kecemasan berusaha untuk memulihkan bekalan elektrik dan air ke ribuan rumah hari ini.

Angin kencang menyebabkan pokok tumbang merempuh rumah kediaman dan memusnahkan kereta berhampiran Melbourne, kata Perdana Menteri Daniel Andrews hari ini. Seorang kanak-kanak berusia empat tahun dihempap oleh sebatang pokok ketika dilaporkan berjalan dengan bapanya semalam di bandar tersebut. Kanak-kanak itu dikejarkan ke hospital tetapi kemudian meninggal dunia akibat kecederaan parah.

“Ini akan menjadi masa yang mengerikan bagi mereka dan doa kita bersamanya,” kata Andrews, sambil mengucapkan takziah kepada keluarga mereka yang terkorban dalam ribut itu. Kerja-kerja pembersihan dijangka diadakan beberapa hari, dengan perkhidmatan kecemasan melaporkan 2,000 panggilan untuk meminta bantuan, yang kebanyakannya berkaitan dengan pokok tumbang, tambah Andrews.

Seorang penduduk di pinggir bandar Belgrave yang teruk terjejas memberitahu akhbar The Age bahawa ribut melanda dengan kuat sehingga tiba-tiba pokok tumbang terdengar seperti letupan. – AFP