Tiga maut trak bunga api meletup

ISTANBUL, 9 JULAI – Tiga orang terbunuh apabila sebuah trak sarat dengan muatan bunga api meletup di Turki hari ini – kejadian kedua seumpama dalam kurang seminggu, kata pegawai.

Kenderaan itu sedang membawa bahan tidak meletup dari sebuah kilang bunga api di wilayah Laut Hitam Sakarya yang juga dilanda letupan sama pada Jumaat, membunuh enam orang dan mencederakan lebih 100 yang lain.

Gambar televisyen menunjukkan asap putih berkepul-kepul naik dari tempat kejadian terbaharu di satu kawasan pergunungan daerah Adapazari di Sakarya.

Kementerian dalam negeri berkata tiga pekerja terbunuh dan enam cedera dalam letupan yang berlaku apabila bunga api sedang dipindahkan sebelum letupan terkawal, lapor agensi berita Anadolu.

Dua daripada mangsa korban adalah dari kumpulan yang bertanggungjawab menghapuskan bunga api yang tidak meletup dalam sebuah kuari.

Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu sedang dalam perjalanan ke tempat kejadian, lapor Anadolu.

Pegawai Turki telah melancarkan satu siasatan dalam kejadian pada Jumaat, yang disifatkan oleh agensi bencana kerajaan AFAD sebagai satu ‘kemalangan industri.’

Media tempatan melaporkan dua pemilik kilang telah ditahan pada minggu ini. – AFP