Tiga mengaku bersalah berpesta, kena denda $5,500

Oleh Ak Zaki Kasharan 

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OKT – Tiga individu dikaitkan dengan kesalahan melanggar arahan perhimpunan ramai semasa meraikan pesta ulang tahun, telah mengubah pengakuan mereka dan diperintahkan untuk membayar denda oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Liew Yun Kun, Phyllis Phang Pei Phin dan Tang Chion Siong mengaku bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 62A (2) Akta Penyakit Berjangkit, Bab 204, di Mahkamah Majistret, kerana melanggar arahan Kementerian Kesihatan bertarikh 9 Ogos 2021 mengenai larangan perhimpunan ramai yang dikeluarkan menurut Seksyen 62A (1) akta yang sama.

Majistret Kanan Pengiran Hazirah Pengiran Haji Mohd Yusof memerintahkan setiap tertuduh untuk membayar denda $5,500, atau berdepan hukuman penjara sebulan.

Timbalan Pendakwa Raya Rozaimah Abdul Rahman memberitahu mahkamah bahawa pada jam 9:35 malam pada 18 September, Pasukan Polis Diraja Brunei menerima aduan melalui talian hotline 993 bahawa terdapat perhimpunan ramai diadakan di sebuah rumah yang terletak di Jalan Ban 3A, Kampung Mulaut.

Setelah menerima aduan itu, polis pergi ke kawasan tersebut untuk melakukan penyiasatan dan mendapati bahawa terdapat perhimpunan ramai di kediaman tersebut, yang melibatkan orang dari rumah yang berlainan, untuk meraikan ulang tahun ke-50 penghuni rumah berkenaan.

Penghuni rumah itu mengakui bahawa dia telah menyediakan makanan dan minuman, dan memainkan muzik untuk menghiburkan tetamunya.

Liew membeli hadiah sementara Tang menyumbang kek hari jadi untuk perayaan itu.

Sebaliknya, Phang hanya mengetahui sambutan itu ketika dia pergi ke sana kerana isteri penghuni rumah yang diraikan itu telah membuat tempahan seutas gelang.

Phang kekal berada di sana atas desakan isteri penghuni rumah yang diraikan itu.

Hasil daripada penyiasatan menunjukkan orang di rumah itu tidak memakai pelitup muka dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal berdasarkan gambar perhimpunan besar-besaran dari telefon bimbit.

Tertuduh diwakili peguam Lailatul Zubaidah Hussain. Mahkamah menekankan lagi keseriusan perhimpunan besar-besaran semasa pandemik yang membawa hukuman berat.