Tiga negara ASEAN catat kes jangkitan baharu harian lebih 10,000

ASEAN, 26 SEPT – Jabatan Kesihatan Filipina (DOH) melaporkan sebanyak 20,755 kes jangkitan baharu COVID-19 hari ini yang membawa jumlah kese-luruhan kes kepada 2,490,858.

Jumlah kematian koronavirus di negara itu kekal 37,405, sementara itu, DOH tidak mengemas kini jumlah kematian sejak Jumaat disebabkan ‘masalah teknikal’.

Filipina yang mempunyai sekitar 110 juta penduduk telah menguji lebih 19 juta penduduk sejak penularannya pada Januari 2020.

Sementara itu, Thailand mencatatkan peningkatan kes sebanyak 12,353 yang menjadikan keseluruhan kes kepada 1,561,638 dalam tempoh 24 jam, lapor Pentadbiran Pusat bagi COVID-19 (CCSA) hari ini.

Kira-kira 125 kematian berkaitan koronavirus telah dilaporkan hari ini, membawa jumlah korban kepada 16,268, menurut CCSA.

Daripada jumlah jangkitan baharu itu, 12 adalah kes import dan 12,341 lagi adalah jangkitan tempatan, termasuk 1,976 yang dikesan di bandar Bangkok.

Manakala itu, Vietnam hari ini turut melaporkan 10,011 kes baharu COVID-19 yang semuanya jangkitan tempatan, menurut Kementerian Kesihatan negara itu. Jangkitan baharu itu membawa jumlah keseluruhan jangkitan negara itu kepada 756,689 dengan 18,584 kematian, kata kementerian. – Xinhua