Tiga negara tubuh AUKUS

WASHINGTON, 16 SEPT – Amerika Syarikat mengumumkan perikatan baharu kelmarin bersama Australia dan Britain untuk memperkukuhkan keupayaan tentera ekoran kebangkitan China, dengan Canberra akan mendapat armada kapal selam nuklear dan peluru berpandu krus Amerika.

Presiden Joe Biden, Perdana Menteri Australia Scott Morrison serta rakan sejawatan Britain, Boris Johnson tidak mengumumkan China dalam pendedahan perikatan mereka, digelar AUKUS – namun tujuan mereka adalah jelas, dan pengumuman mereka mencetuskan keberangan di Beijing.

China mengecam perjanjian itu sebagai satu ancaman ‘sangat tidak bertanggungjawab’ terhadap kestabilan di rantau itu.

Persetujuan itu juga membuat Perancis berang, yang sudah pun berunding mengenai penjualan kapal selam konvensional bernilai bilion dolar kepada Australia.

“Inisiatif ini untuk memastikan setiap daripada kami memiliki keupayaan moden – keupayaan paling moden yang kami perlukan – untuk bertindak dan mempertahankan ancaman yang berevolusi pantas,” kata Biden, bercakap di Washington.

Presiden AS, Joe Biden bercakap mengenai keselamatan negara bersama Perdana Menteri Britain, Boris Johnson (kiri) dan Perdana Menteri Australia, Scott Morrison di East Room, Rumah Putih di Washington pada 15 September. – AFP

Morrison berkata ketiga-tiga negara itu menghormati ‘kebebasan’ dan ‘peraturan undang-undang’ yang perikatan itu akan membantu memastikan keselamatan di rantau tersebut.

Sekutu-sekutu Barat sering merujuk peraturan undang-undang dan kebebasan ketika menyelar kehadiran dan pembangunan tentera China di Laut China Selatan.

Inisiatif utama pertama yang diumumkan di bawah perikatan baharu itu adalah armada lapan kapal selam berkuasa nuklear paling canggih bagi Australia. Kapal selam itu, kata Biden dan para pemimpin lain, bukan saja bersenjata nuklear malahan juga berkuasa reaktor nuklear.

Namun ia akan membolehkan tentera Australia untuk belayar dan menyasarkan serangan jauh dari pesisirnya.

“Ia lebih senyap, pantas dan bertahan lama yang akan membolehkan Australia untuk menghantar kapal selam masa depan ke lokasi Indo-Pasifik buat tempoh yang lama,” kata Ashley Townshend, dari Pusat Pengkajian Amerika Syarikat di Universiti Sydney kepada AFP.

Sebagai tambahan kepada armada kapal selam, seorang pegawai pentadbiran kanan Biden berkata AUKUS akan menggabungkan angkatan berhubung ‘siber, AI – terutamanya AI gunaan – teknologi kuantum dan beberapa keupayaan bawah laut’. Morrison kemudian mengumumkan yang Australia juga akan membeli peluru berpandu krus US Tomahawk jarak jauh.

Seorang pegawai pentadbiran Biden menekankan berulang kali bagaimana ‘uniknya’ keputusan itu, dengan Britain menjadi satu-satunya negara lain yang Amerika Syarikat telah bantu untuk membina armada nuklear. – AFP