Tiga nelayan diarah bayar denda

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JUN – Tiga orang nelayan tempatan telah diperintahkan untuk membayar denda kerana melanggar Perintah Perkapalan Pedagang oleh Mahkamah Majistret pada minggu lalu.

Majistret Kanan Azrimah Abdul Rahman memerintahkan nakhoda kapal Haji Awang Besar bin Haji Abdul Hamid, 69, membayar denda $5,000, atau menjalani hukuman penjara lima bulan jika gagal membayar.

Anak kapal Mohamad Azmee bin Haji Awang Besar, 48, dan Mohammad Aezzyamizwan bin Awang Mohamad Hasham, 27, masing-masing diperintahkan untuk membayar denda $4,000 atau berdepan hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar.

Pendakwa Khalillah Hussin mendedahkan di mahkamah bahawa rondaan bersepadu maritim agensi penguatkuasaan telah mengesan beberapa buah bot dalam perimeter Zon Keselamatan Champion Shoal Oilfield pada 11:15 pagi 6 Mei 2020.

Ketika pihak peronda menuju ke arah mereka, bot-bot tersebut berpecah ke dua arah untuk mengelak daripada pihak berkuasa.

Peronda bagaimanapun berjaya menghalang ketiga-tiga mereka. Semasa menaiki bot, mereka menemui peralatan memancing dan peti pendingin yang mengandungi tangkapan segar di atas bot berkenaan

Peronda kemudian mengeluarkan arahan kepada ketiga-tiga anak kapal dan mengiringi bot ke ibu pejabat Polis Marin.