Friday, February 14, 2025
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga pasang anak damit kembar lahir di Hospital Keningau

    KENINGAU, 13 April – Hospital Daerah Keningau mencatat sejarah tersendiri apabila mengendalikan kelahiran tiga pasang anak damit kembar daripada tiga orang ibu dalam tempoh 75 minit Selasa lalu.

    Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi (ONG) Hospital Daerah Keningau, Dr Siti Aishah Tajudin berkata dua pasang daripada pasangan kembar itu adalah kembar seiras sementara sepasang lagi kembar tidak seiras.

    Beliau berkata kembar pertama masing-masing dilahirkan pada jam 12:37 tengah hari yang merupakan anak damit lelaki seberat 1.9 kilogram dan pasangannya seorang anak damit perempuan pada jam 12:41 tengah hari seberat 2 kilogram.

    Kedua-dua kembar tidak seiras ini dilahirkan Haslina Justin dari Tenom yang dirujuk ke Hospital Bersalin Keningau sehari sebelum itu. “Sepasang lagi anak damit lelaki dilahirkan pada jam 1:17 tengah hari seberat 2.05 kilogram bersama adiknya yang juga lelaki pada 1:20 tengah hari seberat 1.8 kilogram oleh Lianih Gaul.”

    Gambar dipetik dari Facebook menunjukkan warga hospital (atas) yang membantu dalam kelahiran anak damit kembar tiga pasang (bawah).
    Gambar dipetik dari Facebook menunjukkan warga hospital (atas) yang membantu dalam kelahiran anak damit kembar tiga pasang (bawah).

    Dr Siti Aishah berkata sepasang anak damit kembar seiras yang masing masingdilahirkan pada jam 1:44 tengah hari dan 1:52 tengah hari pula dilahirkan Asnita Lazarus dari Kampung Mansiat, Keningau yang kedua-dua anak damit itu seberat 2.45 kilogram.

    “Kesemua anak damit dilahirkan normal dan ketiga-tiga ibu kepada anak damit -anak damit kembar itu tidak menghadapi sebarang komplikasi dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing semalam,” katanya.

    Beliau berkata kelahiran anak damit kembar tersebut merupakan kejayaan besar kepada seluruh kakitangan Jabatan ONG dan Hospital Daerah Keningau,sekali gus membuktikan kepakaran hospital itu berada di tahap terbaik. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda