Tiga pasukan aktif terima geran

SIBU, 17 Dis – Tiga pasukan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di Bahagian Sibu telah dinobatkan sebagai pasukan paling aktif bagi tahun 2018 kerana sering mengadakan rondaan membantu pihak berkuasa membendung kegiatan jenayah dan gejala sosial di komuniti setempat.

Pasukan SRS Kampung Datu Baru, SRS Skim Penempatan Semula Skuau dan SRS Sibu Jaya Zon 3 itu masing-masing menerima Geran Komuniti sebanyak RM10,000 daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Pegawai Perpaduan Bahagian, Jabatan Perpaduan dan Integrasi Nasional Bahagian Sibu, Siti Nurfatimah Hussen berkata separuh daripada geran itu akan digunakan membiayai program pencegahan jenayah yang diadakan bersama polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Separuh lagi digunakan untuk membeli peralatan menjalankan rondaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam Jasamu Dikenang anjuran bersama Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Datu Baru, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Datu Baru serta Jawatankuasa Surau Darul Jannah Kampung Datu Baru malam tadi. – Bernama