Tiga pegawai JBP dinaikkan pangkat

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MEI – Tiga orang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah dinaikkan pangkat menjadi timbalan pegawai balai dan menerima tanda pangkat masing-masing pada majlis yang berlangsung di Mes Pegawai, Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Bomba dan Penyelamat, Landasan Lama Berakas, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, hari ini, penyampaian tanda pangkat berkenaan disempurnakan oleh Penolong Pengarah Perancangan Latihan dan Kakitangan, Hajah Siti Mayang binti Haji Hussin.

Majlis turut dihadiri oleh penolong pengarah, pegawai-pegawai kanan, pegawai dan anggota bomba dan penyelamat di mana majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa

Selamat yang dibacakan oleh Ahli Bomba No.1026 Amin bin Zainuddin.

Penolong pegawai balai dinaikkan pangkat sebagai timbalan pegawai balai berkenaan ialah Penolong Pegawai Balai Haji Sofri bin Haji Aji/ Haji Bolhaji, Penolong Pegawai Balai Haji Rosman bin Haji Musa dan Penolong Pegawai Balai Tonny bin Tanda.

Kenyataan menyatakan, JBP sentiasa menggalakkan warga petugas untuk menanamkan sifat daya maju diri dan persaingan sihat dalam kalangan anggota untuk membentuk budaya kerja berpasukan yang sihat dan berpotensi tinggi.

Pengiktirafan itu adalah sebagai penghargaan jabatan kepada mereka yang telah menyumbangkan perkhidmatan bakti yang cemerlang, berdedikasi dan disiplin yang tinggi serta patuh kepada peraturan selaku seorang anggota perkhidmatan awam dan undang-undang negara.

JBP dalam kenyataan berkenaan, mengucapkan tahniah kepada para pegawai atas kenaikan pangkat tersebut dan diharapkan ia menjadi dorongan untuk meningkatkan lagi komitmen, kualiti, produktiviti dan mutu kerja yang lebih efektif ke arah kecemerlangan bagi mencapai visi dan misi JBP.

Hajah Siti Mayang menyempurnakan penyampaian tanda pangkat kepada salah seorang pegawai yang dinaikkan pangkat. – Gambar serahan JBP