Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JUN – Tiga orang pegawai kadet Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) telah berlepas ke Singapura pada 12 Jun lalu untuk menghadiri Kursus Rota Commander selama 27 minggu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh JBP, di sini, pegawai-pegawai kadet berkenaan ialah Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat (Percubaan) Ema Azeema binti Haji Abdul Kader Jailani; Penguasa Kanan Bomba dan Penyelamat (Percubaan) Amirul Hadi bin Haji Junaidi dan Penolong Penguasa Bomba dan Penyelamat (Percubaan) Muhammad Rafiq bin Reduan.
Mereka menghadiri kursus mandatori itu selama enam bulan 24 hari bermula bulan ini hingga Januari 2023 di Akademi Pertahanan Awam Singapura (SCDF).
Kenyataan menyatakan bahawa hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei untuk mengucapkan selamat belayar ialah Penolong Pengarah Perancangan Latihan dan Kakitangan, Hajah Siti Mayang binti Haji Hussin serta pegawai dan anggota di JBP.