Wednesday, November 6, 2024
25.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga pelajar sekolah menengah temui kulat karang

    KOTA KINABALU, 23 SEPT – Tiga pelajar sekolah menengah membuat penemuan penting dalam kajian kulat apabila menemukan Phaeoclavulina cokeri iaitu sejenis kulat karang jarang jumpa di Bukit Universiti Malaysia Sabah (UMS).

    UMS dalam kenyataan hari ini memaklumkan penemuan itu dibuat oleh Muhammad Aqil Fahmi Mahadimenakbar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, Muhammad Daniel Ashraff Abdullah (SMK Likas) dan Cleasha Joiee Alfius dari Sekolah Menengah (SM) All Saint.

    Mereka menemukan kulat itu ketika menyertai program Friends of BORNEENSIS (FOB 2024), inisiatif yang menekankan pembelajaran langsung tentang biodiversiti anjuran Institut Biologi dan Pemuliharaan Tropika (IBTP), UMS baru-baru ini.

    “Rekod baharu Phaeoclavulina cokeri di Sabah ini amat penting kerana ia biasanya ditemukan di Amerika Utara, China, India dan beberapa negara di Asia Tenggara.

    “Penemuan terakhir spesies ini yang direkodkan di rantau ini adalah lebih 60 tahun lepas.

    Gambar Envato

    Penemuan itu mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyelidik dan menyerlahkan potensi untuk penerokaan lanjut tentang kepelbagaian kulat di Sabah,” menurut kenyataan itu.

    Phaeoclavulina cokeri, kulat karang yang terkenal dengan struktur bercabang unik seperti karang, pada asalnya diklasifikasikan di bawah genus Ramaria oleh ahli mikologi British EJH semasa pengajiannya pada 1960an.

    Menurut kenyataan itu, pada 1976, satu semakan taksonomi berdasarkan analisis genetik dan morfologi membawa kepada pengelasan semula kulit tersebut ke dalam genus Phaeoclavulina.

    Selain Phaeoclavulina cokeri, beberapa pelajar dalam program sama iaitu Sean Ho Min Jun (SM Lok Yuk Kota Kinabalu), Eory Glory Dharius (SK Rungus) dan Isaac Sin Sang (SMK Likas) turut menjumpai satu lagi spesies jarang ditemukan, Marasmius elegans, yang dikenali sebagai kulat payung terjun baldu.

    Mempunyai topi coklat kemerahan dan tangkai keputihan dengan bulu putih di pangkalnya, kulat ini biasanya ditemukan di hutan kayu putih di Australia.

    Spesies ini pertama kali digambarkan sebagai Collybia elegans oleh ahli mikologi Australia John Burton Cleland pada 1933 sebelum dipindahkan ke genus Marasmius oleh Cheryl Grgurinovic pada 1997. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda