Tiga pelanggaran arahan berada di rumah dicatat

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar serahan PPDB & Kementerian Kesihatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 DIS – Tiga pelanggaran arahan telah dikesan semalam semasa Operasi Peralihan yang dijalankan di seluruh negara bermula 10 malam hingga 4 pagi tadi di mana para pesalah telah dikenakan denda kompaun.

Kesemua kesalahan berkenaan adalah pelanggaran arahan untuk berada di rumah, jelas Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Manakala itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) dalam kenyataan yang dikeluarkan menyatakan bahawa dua kesalahan berkenaan didapati di Daerah Brunei dan Muara sementara itu satu lagi di Daerah Belait.

Menurut PPDB lagi, di kala negara masih berada dalam Fasa Awal Endemik, penguatkuasaan yang dilaksanakan melalui Operasi Peralihan akan sentiasa dijalankan dengan penuh komited kerana dalam fasa ini tidak bermakna wabak penularan COVID-19 tersebut telah berakhir.

Di sebalik arahan pihak kerajaan dalam memberikan kelonggaran terhadap sekatan-sekatan pergerakan, masyarakat awam perlu sentiasa beringat dan berwaspada agar tidak membiarkan pengawasan kendiri diabaikan tanpa mengira masa dan tempat.

Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang diaturkan perlu menjadi keutamaan semua lapisan masyarakat di negara ini untuk memastikan penularan sentiasa dibendung dengan sebaiknya bagi memastikan pelindungan dan keselamatan diri sendiri serta keluarga sentiasa dalam keadaan terjamin.

Anggota polis menjalankan pemeriksaan terhadap pemandu kereta semasa operasi berkenaan.