Tiga pemain berpotensi terpilih

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 SEPT – Tiga pemain iaitu Lim Jin Yee, Norfariz Awang Sayang dan Aminuddin Zakwan bin Haji Tahir telah disenarai pendekkan sebagai calon pemain antarabangsa selepas dipanggil untuk menghadiri sesi latihan pasukan kebangsaan di Padang Bola Sepak Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD).

Pemain tengah Indera SC, Aminuddin Zaqwan beraksi di peringkat antarabangsa dengan enam penampilan, sementara Norfariz dan Lim tampil buat pertama kali di bawah pimpinan ketua jurulatih Mohammad Ali bin Mustafa.

Aminuddin menyertai rakan sepasukan kelab, Mohd Khairil Shahme Suhaimi, Mohd Amin Sisa dan Hamizan Aziz dalam latihan pasukan kebangsaan, yang bermula Jumaat lalu.

Penyerang Wijaya FC, Norfariz disenarai pendekkan selepas aksi permulaannya yang memberangsangkan dalam Liga Super Brunei (BSL) yang terjejas akibat COVID-19 ketika ini, dengan membantu pasukannya meraih kemenangan 2-1 menentang MS PPDB pada Piala FA.

Penyerang itu terbukti menjadi salah satu tonggak penting dalam kelab yang berpangkalan di Ong Sum Ping selepas menjadi pencabar Golden Boot musim lalu, yang akhirnya dimenangi oleh Mohd Hadif Aiman bin Adanan.

Para pemain ketika mengambil bahagian dalam sesi latihan sambil diperhatikan oleh jurulatih di Padang Bola Sepak NFABD.

Norfariz muncul sebagai salah seorang pendatang baharu dalam pasukan kebangsaan bersama rakan sepasukan Awangku Ashraf bin Pengiran Haledi, yang merupakan salah seorang daripada tiga penjaga gol.

Bintang remaja Kasuka FC, Aisan Aizuddin Abdullah Aiman adalah ahli termuda yang mendapat perhatian pada usia 18 tahun sementara Sairol bin Sahari merupakan pemain senior.

Aisan Aizuddin menjaringkan gol untuk kelabnya semasa menang 4-2 menentang Indera SC di BSL.

Sairol pula, yang membuat debut antarabangsa pada tahun 2003, kembali ke arena bola sepak antarabangsa tahun lalu dan dijadikan kapten semasa kelayakan Piala Dunia FIFA menentang Mongolia.

Pengarah Teknikal NFABD, Sivaji Narayan telah membuat inisiatif untuk menubuhkan pasukan kebangsaan memandangkan perlawanan Piala Suzuki Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) akan diadakan pada bulan April tahun depan.

Antara pemain yang belum membuat penampilan antarabangsa yang menerima panggilan termasuk pemain pertahanan Kasuka FC, Nazhan Zulkifle; dari Indera SC, Mohd Amin Sisa; dan penyerang Kasuka FC, Hanif Aiman Adanan.