Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 OKT – Tiga pemain muda Brunei telah menjuarai Piala Hayat Plate, dalam kejohanan bola sepak Kepri Championship Batam di Indonesia bersama Pasukan Woodlands Warriors dari Singapura baru-baru ini, di mana dua antaranya adalah pemain muda DPMM FC dan seorang daripada IKLS-MB5 yang sedang dalam kontrak pinjaman.
Tiga pemain muda tersebut ialah Nur Muhammad Adi bin Hallim daripada Kelab IKLS-MB5, Muhammad Azrin Danial bin Haji Yusra dan Muhammad Danish Firdaus bin Roddy Suhardy daripada DPMM FC.
Pasukan Woodlands Warriors kalah pada perlawanan pertama dalam saingan kumpulan dengan keputusan 0-1 ketika menentang Viking Batam, perlawanan keduanya kalah dengan keputusan 2-5 menentang SSP Karisma Medan.
Sementara dalam perlawanan ketiga, Woodlands Warriors menang dengan keputusan 2-0 menentang Global International Indian FC.
Dengan pasukan Woodlands memperoleh tiga mata dalam babak kumpulan, mereka layak untuk bermain bagi Piala Plate. Sementara dalam saingan kalah mati, pasukan Woodlands Warriors menang besar 6-0 menentang SMK 8 Batam pada babak separuh akhir sekali gus muncul juara setelah menang dengan keputusan 1-0 menentang AS Daruga FC Kedah pada perlawanan akhir.
Nur Muhammad Adi bin Hallim menyandang gelaran pemain MVP pada akhir perlawanan.
Muhammad Danish Firdaus bin Roddy Suhardy menjadi kapten pasukan pada perlawanan akhir.
Manakala Muhammad Azrin Danial bin Haji Mohamad Yusra telah menyumbangkan empat gol dalam lima permainan.
