Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 FEB – Tiga orang atlet memanah negara telah berlepas meninggalkan negara, hari ini, bagi menyertai kejohanan memanah terbesar yang dijadualkan berlangsung selama tiga hari, 7 hingga 9 Februari depan di Southpoint Hotel, Las Vegas, Amerika Syarikat.
Barisan atlet yang mewakili Brunei Darussalam ke kejohanan tersebut ialah Pengiran Mohd Afwi bin Pengiran Haji Bakar, Awang Mohd Shah Rezza bin Nassaruddin dan Awang Mohd Nasrullah bin Nassaruddin.
Meskipun bilangan penularan virus korona semakin meningkat, ia sama sekali tidak melunturkan semangat para atlet pemanah negara untuk memberikan penampilan terbaik mereka berhadapan dengan para pemain handalan dan profesional dari seluruh dunia yang turut menyertai kejohanan tersebut.
Pengiran Mohd Afwi semasa ditemui di Ruang Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei menjelaskan bahawa The Vegas Shoot turut disertai oleh barisan atlet memanah terbaik dunia antaranya pemenang pingat emas dalam temasya sukan Olympik iaitu Brady Ellison dan Chang Hye-Jin.
Menurutnya, beliau akan menyertai acara Champion Recurve bersama Awang Mohd Nasrullah, sementara itu Awang Mohd Shah Rezza pula akan menyertai Kategori Compound Flight.
Awang Mohd Shah Rezza ketika ditemui turut memberitahu bahawa ia merupakan kejohanan terbesar bagi dirinya sepanjang kariernya dalam bidang memanah sejak dua tahun yang lalu dan menyertai The Vegas Shoot merupakan impian terbesarnya selama ini.
Beliau yang berasa begitu teruja untuk bersaing di Amerika Syarikat telah membuat banyak latihan fizikal dan mental dalam menghadapi kejohanan itu nanti seterusnya berharap beliau dan para atlet memanah lain dapat memberikan penampilan yang terbaik ketika bersaing di sana nanti.
Syarikat Penerbangan Diraja Brunei turut menyokong apa jua acara sukan di negara ini dalam usaha meningkatkan prestasi rakyat Brunei khususnya para belia untuk bersaing dan meningkatkan kepakaran dan kemahiran mereka di arena antarabangsa.





























