CATANIA, ITALI, 8 NOV – Tiga pendatang yang diselamatkan dari Mediterranean dan dibawa ke pelabuhan Sicily bertindak melompat ke laut berikutan kebuntuan kerana tidak dibenarkan turun dari kapal.
Menurut pengendali Doctors Without Borders (MSF), lelaki terbabit kemudian diselamatkan berhampiran kapal Geo Barents, ketika ia berlabuh di Catania dengan lebih 200 orang di atas kapal.
MSF adalah satu daripada segelintir kapal amal yang menyelamatkan pendatang berisiko lemas semasa menyeberang dari Afrika Utara ke Eropah, yang kini dikritik oleh kerajaan Perdana Menteri baharu, Giorgia Meloni.
MSF yang menggunakan bendera Jerman Humanity 1 kemudian menurunkan 144 orang, tetapi masih mempunyai 35 pendatang lelaki dewasa tidak dibenarkan turun.
Ini memandangkan kerajaan Itali mengeluarkan arahan Humanity 1 hanya dibenarkan masuk ke pelabuhan Itali dalam ‘keadaan kecemasan’ berikutan aduannya sebelum ini kepada Kesatuan Eropah (EU) terhadap beban untuk menguruskan masalah tersebut.
Ketua Pentadbiran Syracuse berkata, walaupun ketegangan meningkat di Catania, lebih 500 orang berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa Itali dan dibenarkan turun di Sicily.
Sementara itu, Senator Parti Demokrat berhaluan tengah, Antonio Nicita berkata beliau melawat kapal itu dan mendapati timbulnya ‘banyak penderitaan’.
“Ramai orang membuka pakaian di hadapan kami untuk menunjukkan jangkitan kudis mereka berikutan rawatan perubatan yang terbatas,” katanya. – AFP