Tiga penduduk Palestin maut dalam pertikaian

JENIN, WILAYAH PALESTIN, 10 JUN – Tiga penduduk Palestin maut di tangan pasukan khas Israel hari ini, yang dalam misi untuk menangkap suspek ‘pengganas’ di Tebing Barat yang diduduki, menurut sumber dari kedua-dua pihak.

Dua daripada yang terbunuh itu adalah anggota pasukan keselamatan Pihak Berkuasa Palestin dan kepresidenan Palestin mengecam kematian mereka sebagai ‘pertikaian berbahaya’.

Seorang pegawai keselamatan Israel memberitahu AFP yang pasukan khas itu berada di bandar Tebing Barat, Jenin untuk ‘menangkap pengganas’ yang melakukan serangan tembakan terhadap askar-askar beberapa bulan kebelakangan.

“Seorang penduduk Palestin melepaskan tembakan ke arah pasukan itu telah ditembak mati,” katanya bersama pasukan keselamatan Palestin yang mengenal pastinya sebagai Jamil al-Amuri, bekas banduan.

Suspek lain, Wissam Abu Zeid, cedera parah dalam kejadian tembak menembak itu.

Pegawai keselamatan Israel memberitahu AFP bahawa kedua-duanya adalah anggota kumpulan pejuang Islamic Jihad.

Menurut pegawai keselamatan kanan Palestin, pasukan Israel menggunakan kereta orang awam, yang menimbulkan rasa sangsi dua pegawai Palestin di sebuah pangkalan berhampiran, kemudiannya melepaskan tembakan ke arah askar Israel namun terbunuh semasa berbalas tembakan. – AFP