SANDAKAN, 10 Mac – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memotong bekalan elektrik sebuah syarikat yang membekalkan elektrik kepada tiga penempatan setinggan di Batu Sapi.
Tindakan diambil pada 1 Mac lepas disebabkan tunggakan bil elektrik telah melebihi RM250,000 selepas syarikat itu gagal membayar bil elektrik sejak September tahun lepas.
Syarikat itu membekalkan bekalan elektrik kepada kawasan penempatan setinggan di Kampung Bakau, Sundang Laut dan Batu Sapi Laut.
Dalam kenyataan hari ini, Pengurus Besar (Komunikasi Korporat) SESB Chendramata Sinteh berkata urusan kutipan hasil dari rumah setinggan di kawasan berkenaan diuruskan oleh syarikat itu dan SESB hanya membekalkan bekalan pukal kepada syarikat berkenaan.
Katanya tindakan untuk memotong bekalan kepada syarikat berkenaan dibuat selepas gagal menjelaskan bil tertunggak walaupun notis pemakluman secara bulanan sudah dibuat. – Bernama