Tiga penerbangan ke Sibu dilencongkan ke Miri

SIBU, 19 SEPT – Tiga pesawat yang dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Sibu terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Miri akibat kesukaran untuk mendarat berikutan keadaan cuaca berkabus dan awan rendah.

Pengurus Malaysia Airports Sdn Bhd (MASB) Sibu, Zainuddin Abu Nasir berkata tiga pesawat itu membabitkan dua penerbangan AirAsia iaitu dari Kota Kinabalu-Sibu dan Kuala Lumpur-Sibu dan pesawat MasWings dari Bintulu-Sibu.

Katanya pesawat bagi penerbangan dari Kota Kinabalu yang membawa 78 penumpang diarah membuat lencongan pada pukul 7.30 pagi ini, dari Kuala Lumpur dengan 106 penumpang pada 7.55 pagi manakala dari Bintulu (17 penumpang) pukul 8 pagi.

“Perubahan jadual seterusnya bergantung kepada masa tiba ke Lapangan Terbang Sibu dan terpulang kepada syarikat penerbangan menetapkan masa penerbangan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, setakat 9 pagi ini, belum ada lagi penerbangan ketibaan mendarat di Lapangan Terbang Sibu. – Bernama