Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga ‘pengganas’ maut di Jordan

    AMMAN, 12 Ogos – Pasukan keselamatan Jordan telah membunuh tiga ‘pengganas’ dan menahan lima yang lain dalam satu serbuan selepas seorang pegawai terbunuh dalam insiden letupan bom berhampiran ibu negara, kata kerajaan hari ini.

    Tiga anggota pasukan keselamatan juga maut dalam serbuan semalam, yang berlaku selepas bom buatan sendiri meletup di bawah kereta peronda semasa festival muzik.

    Satu pasukan khas gabungan, polis dan tentera telah menyerbu sebuah rumah di bandar Salt barat laut Amman untuk mencari suspek pengganas, menurut jurucakap kerajaan, Jumana Ghneimat.

    Tambahnya, tiga anggota pasukan keselamatan terbunuh dalam kejadian tembak menembak dengan lelaki bersenjata di sebuah bangunan.

    “Suspek enggan menyerah diri dan melepaskan tembakan ke arah pasukan keselamatan gabungan,” kata Ghneimat dalam satu kenyataan.

    Pasukan keselamatan Jordan berhimpun semasa satu serbuan di bandar Salt, barat laut ibu negara Amman, kelmarin. – AFP

    “Suspek juga meletupkan bangunan tempat mereka bersembunyi, dan tempat yang mereka pasang dengan alat peledak sebelum ini,” katanya.

    Dalam perkembangan awal hari ini, Ghneimat berkata tiga mayat serta senjata automatik ditemui di bawah runtuhan blok pangsapuri empat tingkat itu.

    Dia menambah bahawa dua lagi ‘pengganas’ telah ditangkap, menjadikan jumlah keseluruhan orang yang ditahan di Salt sejak kelmarin seramai lima orang.

    Tidak ada kumpulan yang segera mengaku bertanggungjawab terhadap letupan bom yang terjadi Jumaat lalu, yang juga mencederakan enam anggota keselamatan di Al-Fuhais, sebuah bandar yang kebanyakannya beragama Kristian di barat Amman.

    Sementara itu, identiti suspek tidak diketahui.

    Salah seorang anggota pasukan keselamatan yang cedera ketika serbuan itu dalam ‘keadaan kritikal, kata Ghneimat.

    “Operasi keselamatan masih lagi dilancarkan,” katanya, sambil menambah bahawa unit sivil pertahanan berada di tempat kejadian untuk menilai kerosakan bangunan.

    Ghneimat menggesa orang awam untuk menjauhkan diri dari tempat kejadian, memberi amaran bahawa ‘ia boleh runtuh sepenuhnya pada bila-bila masa saja’.

    Sumber perubatan menyatakan bahawa 11 orang cedera ketika serbuan tersebut, termasuk anggota pasukan keselamatan dan orang awam. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda