SEOUL, Korea Selatan, 22 Okt – Para pegawai tentera dari Korea Selatan, Korea Utara dan Tentera Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai Amerika Syarikat sekali lagi mengadakan pertemuan di perkampungan sempadan Korea hari ini bagi memeriksa usaha yang sedang dilakukan untuk melaksanakan pelucutan senjata di kawasan itu.
Pelucutan senjata di perkampungan Panmunjom merupakan antara perjanjian yang dicapai oleh kedua-dua belah pihak pada September lalu bagi mengurangkan tekanan ketenteraan.
Di bawah perjanjian tersebut, pasukan tentera dari Korea Selatan dan Korea Utara mula melupuskan periuk api dari Panmunjom awal bulan ini sebelum menarik balik senjata dan pos-pos keselamatan di sana. Mereka akhirnya merancang untuk mengerahkan 35 anggota tanpa senjata dari kedua-dua belah pihak untuk menjaga perkampungan itu.
Perbincangan tiga penjuru pada Isnin merupakan yang kedua kali dalam tempoh seminggu. Secara rasminya, perkampungan itu diselia secara gabungan oleh Korea Utara dan Tentera PBB, legasi Perang Korea 1950-1953 yang diakhiri dengan gencatan senjata, bukan perjanjian perdamaian.
Perbincangan itu akan mengkaji semula kerja-kerja pelupusan periuk api dan berbincang mengenai langkah masa depan di kawasan itu, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Korea Selatan.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian September lalu, Korea Selatan dan Korea Utara sedang melupuskan periuk api dari kawasan barisan depan yang lain di mana mereka merancang dalam pencarian gabungan pertama anggota-anggota tentera yang terbunuh semasa Perang Korea. Kedua-dua belah pihak juga merancang untuk menubuhkan zon penimbal sepanjang sempadan darat dan laut dan zon larangan terbang di udara sempadan itu.
Para pegawai peringkat jeneral dari Korea Selatan dan Korea Utara akan mengadakan pertemuan Jumaat ini untuk membincangkan maklumat lanjut mengenai bagaimana untuk melaksanakan perjanjian mengurangkan tekanan, menurut Kementerian Pertahanan Korea Selatan. – AP