Tiga perempat belia Brunei kurang aktif: kajian WHO

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Majoriti para belia di negara ini tidak memperoleh aktiviti fizikal yang mencukupi, dengan jurang yang semakin ketara antara lelaki dan perempuan dari tahun 2001 hingga 2016, menurut hasil kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini yang dikeluarkan bulan lalu.

Menurut laporan tersebut, kira-kira 87.1 peratus belia Brunei yang berumur antara 11 hingga 17 tahun sekurang-kurangnya tidak melakukan aktiviti fizikal selama satu jam setiap hari, yang merupakan satu masalah yang semakin membimbangkan di kalangan remaja di seluruh dunia.

Berdasarkan data tinjauan yang merangkumi 1.6 juta orang di 146 buah negara, kajian ini menumpukan kepada remaja sekolah di seluruh dunia untuk tahun 2001 hingga 2016. Ia mendapati bahawa lebih daripada tiga perempat belia Brunei tidak memenuhi garis panduan WHO semasa yang menekankan sekurang-kurangnya untuk melakukan aktiviti fizikal selama satu jam setiap hari.

Walau bagaimanapun, kadar bilangan remaja Brunei yang melakukan aktiviti fizikal yang mencukupi menunjukkan peningkatan dalam tempoh 15 tahun kebelakangan, terutamanya di kalangan lelaki, di mana belia yang tidak mendapat aktiviti fizikal menurun kepada 81.1 peratus pada 2016, turun 1.6 peratus daripada 82.7 peratus pada tahun 2001.

Ini berbeza dengan penemuan untuk kalangan belia wanita di Brunei, di mana sebanyak 93.5 peratus dicatatkan tidak memperoleh aktiviti fizikal yang mencukupi pada tahun 2016, yang hanya sedikit peningkatan daripada 93.1 peratus pada tahun 2001.

Keseluruhannya, 87.1 peratus remaja Brunei mempunyai aktiviti fizikal yang tidak mencukupi pada tahun 2016, peningkatan berbanding 87.8 peratus pada tahun 2001. Menurut laporan WHO, aktiviti fizikal mempunyai banyak manfaat kesihatan untuk golongan muda.

Pada tahun 2018, WHO melancarkan satu program ke arah kehidupan sihat, di mana ia merupakan satu tindakan global baharu dalam aktiviti fizikal bagi menangani kelaziman semasa dan trend aktiviti fizikal yang tidak mencukupi di kalangan remaja sekolah yang berusia 11 hingga 17 dalam negara, serantau, dan seluruh dunia.

Di peringkat global, pada 2016, 81.0 peratus pelajar berusia 11 hingga17 tahun tidak aktif secara fizikal (77.6 peratus lelaki dan 84.7 peratus perempuan). Walaupun aktiviti fizikal yang tidak mencukupi berkurangan antara 2001 dan 2016 untuk kanak-kanak lelaki (daripada 80.1 peratus pada tahun 2001), tetapi tiada perubahan signifikan yang dicatatkan untuk kanak-kanak perempuan (daripada 85.1 peratus pada tahun 2001).