Friday, December 1, 2023
29.6 C
Brunei

    -

    Tiga peserta Kata wanita terima anugerah

    Oleh Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 3 NOV – Tiga wanita tempatan menerima anugerah insentif sempena meraikan kejayaan mereka selepas memenangi tempat ketiga semasa Sukan Asia ke-19 2023 yang berlangsung dari 28 September hingga 8 Oktober di Stadium Taman Sukan Hangzhou di Hangzhou, China.

    Penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh Penaung Kehormat Persekutuan Karate Brunei Darussalam, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Negara Pengiran Anak Haji Puteh ibni Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam, dalam satu majlis anugerah dan majlis makan malam yang berlangsung pada 14 Oktober di kediaman 28 Taman Seri Alam.

    Tiga peserta yang menerima pingat gangsa dalam acara Kata Berpasukan Wanita Sukan Asia ke-19 2023 ialah Farhah Syahirah binti Mohd Shamrin, Rodyatul Adhwanna binti Bakar dan Farhana Najeha binti Abdul Rahman.

    Anugerah yang disampaikan oleh Penaung Kehormat Persekutuan Karate Brunei Darussalam itu bertujuan untuk merayakan pencapaian atlet karate muda di arena antarabangsa dan menjadi contoh yang menggalakkan bagi atlet yang lain.

    Turut hadir ialah Presiden Persekutuan Karate Brunei Darussalam, Pengiran Haji Yura Kesteria bin Dr Pengiran Haji Muhd Yusof dan Duta Jepun ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Maeda Toru.

    YAM Pengiran Indera Negara Pengiran Anak Haji Puteh dan TYT Maeda Toru bergambar ramai bersama ketiga-tiga peserta acara kata wanita yang telah menerima anugerah tersebut. – GAMBAR SERAHAN BDKF
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Semakin ramai pelajar Korea mahu jadi doktor kerana gaji tinggi

    SEOUL, 1 DIS - Pendapatan tinggi telah menjadi sebab utama pelajar sekolah rendah dan menengah di Korea Selatan memilih menjadi doktor perubatan sebagai laluan...