Tiga produk kesihatan dicemari

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Hasil ujian makmal Bahagian Farmasi, Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan, tiga produk kesihatan telah didapati dicemari dengan ubat-ubatan barat yang tidak diisytiharkan.

Produk-produk tersebut iaitu Li Da Daidaihua Weight Loss Capsule telah didapati dicemari dengan acetaminophen dan sibutramine, manakala Grow XL Capsule dicemari sildenafil; dan Swiss Candy yang dikilangkan oleh GH Health Care, Switzerland telah dicemari tadalafil.

Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan dalam kenyataannya hari ini menasihatkan orang ramai supaya tidak menggunakan produk-produk tersebut disebabkan bahan-bahan pencemar itu boleh mengakibatkan kesan-kesan mudarat yang membahayakan kesihatan.

Acetaminophen atau paracetamol digunakan untuk menahan sakit dan mengurangkan demam panas yang mana apabila penggunaan yang berlebihan boleh membawa kepada kerosakan hati, kegagalan organ buah pinggang, koma dan akhirnya boleh menyebabkan kematian.

Manakala, sibutramine adalah agen pelangsing badan yang tidak lagi disarankan penggunaannya dalam rawatan obesiti kerana kesannya yang boleh memudaratkan jantung dan hati serta kesan advers yang serius seperti tekanan darah tinggi, denyutan jantung yang tidak menentu dan sukar untuk tidur; dan dalam kes-kes yang paling teruk, ianya boleh menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan hati.

Li Da Daidaihua Weight Loss Capsule.
Grow XL Capsule dicemari sildenafil.
Swiss Candy dicemari tadalafil.

Sementara, tadalafil dan sildenafil adalah ubat yang digunakan untuk merawat mati pucuk yang memerlukan preskripsi doktor.

Antara kesan-kesan sampingan apabila memakan ubat-ubat tersebut ialah merasa mual, muntah-muntah, muka kemerahan dan pening.

Dalam kes-kes yang teruk ia juga boleh menyebabkan peningkatan yang luar biasa pada degupan jantung, kehilangan pendengaran secara tiba-tiba dan sawan.

Dalam pada itu, kementerian tidak pernah mengeluarkan kebenaran ke atas pengimportan bagi penjualan produk-produk tersebut dan ia juga dilarang untuk diimport dan dijual di Negara Brunei Darussalam.

Orang ramai yang telah membeli atau memakan produk-produk tersebut adalah dinasihatkan untuk memberhentikan penggunaannya dan segera berjumpa doktor jika mengalami kesan-kesan advers.